Saturday, February 5, 2011

Cinta.

Cinta itu seperti pepasir di pantai. Tatkala dihempas ombak, ia bersisir tidak bertuju. Tatkala dipancar terik mentari, ia panas berbahang. Tatkala dihembus angin pagi, ia diam tidak berganjak.
Cinta seperti itu. Tiada definisi jelas. Tiada pengertian pasti. Manusia banyak bertuhankan cinta sehingga sampai suatu saat manusia lupa bahawa perasaan cinta itu bukanlah harta kekal dalam diri manusia. Kita boleh berkata, "Aku suka." "Aku jatuh cinta" "I'm in love". Tetapi, fahamkah kita akan cinta yang sebenar-benarnya?

Kita boleh berkata apa sahaja yang kita mahu. Kalian boleh mengaku apa sahaja yang kalian mahu. Tetapi ingatlah, cinta tidak semudah kata yang dilafaz. Cinta perlukan pengorbanan dan pengorbanannya bukanlah dengan membiarkan diri dilapah manusia bernafsu syaitan dan membuang bayi yang dikandung secara luar nikah. TIDAK. Cinta ialah sifat suci yang langsung tidak boleh dicemari dengan sikap dan perbuatan tidak bermoral seperti itu. Cinta memiliki nilainya yang tersendiri. Cinta yang sejati adalah cinta yang sebenar-benarnya cinta. Cinta bukanlah sekadar kasih antara lelaki dan perempuan. Cinta bersifat universal. Luasnya tidak terbayang dengan mata, tidak terkira dengan kalkulator. Lajunya tidak mampu disukat, sucinya tidak mampu diukur. Cinta ialah nilai pasti dalam kehidupan. Berbicaralah tentang cinta, maka, ada jiwa yang akan ketawa. Sebut sahaja tentang jatuh cinta, pasti ada jiwa yang tersenyum. Itulah cinta. Menyebutnya sahaja sudah mewujudkan rasa aneh dalam jiwa. Maka, tatkala hati dan jiwa dihujani dan disinggahi cinta, rasanya indah sekali bukan?

Jangan salahkan diri andai cinta bertandang ke jiwa. Jangan salahkan hati kerana menerima cinta yang tiba. Jangan salahkan nafsu kerana berbuak-buak tatkala ada cinta bergelora. Andai benar ada cinta, peliharalah ia atas nama Allah Yang Maha Esa. Cinta tidak pernah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Cinta tidak pernah membenarkan yang salah dan menafikan yang betul. Cinta itu harga segunung emas, sepulau berlian.

Hargailah CINTA kerana CINTA itu INDAH.

:)

No comments:

Post a Comment